Social Media

KAIDAH AL-MASYAQQAH TAJLIB AL-TAISIR (المشقّة تجلب التّيسير)

KAIDAH 4 | KESULITAN MENIMBULKAN KEMUDAHAN ( ﺍﻟﻤﺸﻘﺔ ﺗﺠﻠﺐ ﺍﻟﺘﻴﺴﻴﺮ )

Syariat Islam tidak mentaklifkan kepada manusia sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh mereka dan sesuatu yang boleh menjatuhkan mereka ke dalam kesusahan atau dengan sesuatu yang tidak bertepatan dan serasi dengan naluri serta tabiat mereka.

Masyaqqah atau kesukaran yang akan menjadi sebab kepada keringanan dan dipermudahkan berdasarkan kaedah ini ( masyaqqah tajlibu al-taisir ) ialah masyaqqah yang melampaui had biasa dan tidak mampu ditanggung oleh manusia pada kebiasaannya, bahkan boleh memudaratkan diri seseorang dan menghalangnya dari melakukan kerja amal yang berguna.


PENGERTIAN MASYAQQAH TAJLIBU AL-TAISIR ‏) ﺍﻟﻤﺸﻘﺔ ﺗﺠﻠﺐ ﺍﻟﺘﻴﺴﻴﺮ KESUKARAN ITU MEMBAWA KEPADA KERINGANAN)
Dari segi bahasa masyaqqah bermaksud sesuatu yang meletihkan. [1] Manakala dari sudut istilah pula masyaqqah digunakan khusus bagi merujuk kepada sesuatu yang pada kebiasaannya mampu dilakukan, tetapi dalam hal tertentu ia telah keluar dari batas-batas kebiasaan dan menyebabkan seseorang mukallaf mengalami kesukaran untuk melaksanakannya. [2]

Kaedah ini bermaksud kesukaran itu menarik adanya kemudahan / kesukaran membawa kepada keringanan. Selain itu juga, kaedah ini bermaksud, apabila terdapat sesuatu kesusahan atau kesulitan dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah s.w.t, perintah itu diringankan, tidak seperti asalnya. Berdasarkan kaedah tersebut terbentuknya semua hukum rukhsah atau keringanan dalam syariat Islam. [3] Bahkan, ia selaras dengan kaedah dengan lafaz kaedah :

‏( ﺇﻥ ﻛﻞ ﻣﺄﻣﻮﺭ ﻳﺸﻖ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻌﺒﺎﺩ ﻓﻌﻠﻪ ﺳﻘﻂ ﺍﻷﻣﺮ ﺑﻪ، ﻭﻛﻞ ﻣﻨﻬﻲ ﺷﻖ ﻋﻠﻴﻬﻢ ﺇﺟﺘﻨﺎﺑﻪ ﺳﻘﻂ ﺍﻟﻨﻬﻲ ﻋﻨﻪ ‏) . [4]

Maksudnya :

“Sesungguhnya semua perkara suruhan apabila ia membebankan terhadap hamba atau manusia mengerjakannya, gugur suruhan terhadapnya dan segala perkara tegahan membebankan hambanya menjauhinya, gugur tegahan mengenainya” .

Dalam konteks yang lain, ia membawa maksud supaya syariat Islam dapat dilaksanakan oleh mukallaf kapan saja dan di mana saja. Yaitu dengan memberi kelonggaran dan keringanan ketika seseorang itu berada dalam kesempitan dan kesukaran. [5]

DALIL-DALIL YANG BERKAITAN DENGAN KAIDAH AL-MASYAQQAH TAJLIBU AL-TAISIR ﺍﻟﻤﺸﻘﺔ ﺗﺠﻠﺐ ﺍﻟﺘﻴﺴﻴﺮ


Berikut merupakan dalil-dalil atau nas-nas syarak yang berkaitan dengan kaedah ini antaranya ialah :

i. Al-Quran

Berdasarkan kepada firman Allah s.w.t

Maksudnya :

“Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”. [6]

Firman Allah s.w.t lagi :

Maksudnya :

“Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya”. [7]

Kesimpulan berdasarkan kepada firman Allah s.w.t di atas ialah Allah s.w.t tidak menginginkan kesukaran kepada umat ini, sebaliknya mereka disuruh melaksanakan sesuatu tanggungjawab sekadar termampu atau mengikut kemampuan seseorang itu untuk melaksanakan sesuatu perkara.

ii. Sunnah al-Nabawiyyah

Berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w :

ﺳﺌﻞ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻋﻦ ﺃﺣﺐ ﺍﻷﺩﻳﺎﻥ ﺇﻟﻰ ﺍﻟﻠﻪ، ﻓﻘﺎﻝ : )) ﺍﻟﺤﻨﻴﻔﺔ ﺍﻟﺴﻤﺤﺔ .(( [8]

Maksudnya :

“Ditanya Nabi s.a.w, tentang agama (cara hidup) manakah yang paling dikasihi (disukai) oleh Allah, maka berkata Nabi s.a.w : Agama Nabi Ibrahim a.s (Islam) yang bertolak ansur”.

ﻗﺎﻝ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﺻﻠﻰ ﺍﻟﻠﻪ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ : )) ﻳﺴﺮﻭﺍ ﻭﻻ ﺗﻌﺴﺮﻭﺍ .(( [9]

Maksudnya:

“Nabi s.a.w bersabda, permudahkanlah dan jangan menyusahkan”.

Hadis di atas menjelaskan bahwa syariat Islam adalah mudah dan ringan, ia juga adalah sebahagian daripada tujuan syarak.

SEBAB- SEBAB KERINGANAN

Terdapat tujuh sebab keringanan yang diberikan oleh syarak dalam ibadat, yaitu :

i. Musafir : syarak memberikan keringanan seperti qasar dan jamak solat serta berbuka puasa. [10]

ii. Sakit : syarak memberikan keringanan seperti meninggalkan puasa dan tayammum . [11]

iii. Paksaan : syarak mengharuskan seseorang yang dipaksa untuk melafazkan perkataan kufur. [12]

iv. Lupa : seseorang yang makan dalam keadaan terlupa semasa berpuasa, tidak terbatal puasanya. [13]

v. Kejahilan : tidak batal solat orang yang bercakap semasa solat dalam keadaan jahil. [14]

vi. Kepayahan : tanaman yang terkena najis binatang yang membajaknya dimaafkan. [15]

vii. Kekurangan: orang gila dan bayi tidak diberikan tanggungjawab oleh syarak. [16]

JENIS-JENIS KERINGANAN SYARA'


Menurut pendapat Syeikh ‘Izz al-Din bin Abd al-Salam al-Syafi’i, jenis keringanan atau rukhsah itu ada enam. Manakala menurut ulama mazhab Hanafi sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Nujaym, rukhsah itu ada tujuh jenis iaitu [17] :

a) ﺗﺨﻔﻴﻒ ﺇﺳﻘﺎﻁ – keringanan dengan menggugurkan kewajipan. [18]

Contohnya :

i. Tidak wajib atau gugur sembahyang Jumaat kerana ada halangan tertentu.

ii. Digugurkan daripada menyertai jihad sebab uzur.

iii. Digugurkan kewajipan haji dan umrah disebabkan keuzuran.

b) ﺗﺨﻔﻴﻒ ﺗﻨﻘﻴﺺ – keringanan dengan mengurangkan bebanan. [19]

Contohnya :

i. Memendekkan atau qasar sembahyang zohor atau asar menjadi dua rakaat.

c) ﺗﺨﻔﻴﻒ ﺇﺑﺪﺍﻝ – keringanan dengan gantian atau penukaran. [20]

Contohnya :

i. Ditukarkan berwuduk dan mandi dengan bertayammum.

ii. Menukarkan kedudukan sembahyang bagi orang sakit yang tidak berdiri kepada duduk atau baring atau isyarat.

iii. Menukarkan bagi orang tua yang uzur yang tidak dapat berpuasa dengan membayar fidyah .

d) ﺗﺨﻔﻴﻒ ﺗﻘﺪﻳﻢ – keringanan dengan mendahulukan. [21]

Contohnya :

i. Menyegerakan membayar zakat sebelum waktu atau haul nya.

ii. Sembahyang jama’ taqdim.

e) ﺗﺨﻔﻴﻒ ﺗﺎﺧﻴﺮ – keringanan dengan mengakhirkan. [22]

Contohnya :

i. Menangguhkan puasa Ramadhan kerana musafir .

ii. Sembahyang jama’ ta’khir.

iii. Menangguhkan sembahyang demi menyelamatkan orang mati lemas dan terbakar.

f) ﺗﺨﻔﻴﻒ ﺗﺮﺧﻴﺺ – keringanan mendapat rukhsah kerana terdesak atau terpaksa. [23]

Contohnya :

i. Minum arak kerana terlalu dahaga dan ketiadaan air.

ii. Diharuskan makan bangkai kerana terdesak.

g) ﺗﺨﻔﻴﻒ ﺗﻐﻴﻴﺮ – keringanan mengubah atau menukar. [24]

Contohnya :

i. Menukar dan mengubah kedudukan serta cara mendirikan sembahyang ketika dalam keadaan ketakutan dan menghadapi musuh.

RUKHSAH SYAR’IYYAH


Menurut ulama usul fiqh, rukhsah syar’iyyah didefinisikan sebagai hukum-hukum yang disyariatkan oleh Allah s.w.t dengan mengambil kira keuzuran manusia. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafie mentakrifkannya sebagai hukum yang menyanggahi dalil kerana keuzurannya.

Ulama mazhab Syafie membahagikan rukhsah kepada lima bahagian :

i. Rukhsah wajib

Contohnya memakan bangkai ketika darurat, berbuka puasa kerana terlalu lapar dan dahaga yang boleh membawa kepada kebinasaan diri dan minum arak untuk memboloskan makanan yang tersekat di kerongkong ketika tiada minuman lain. Ia wajib dilakukan bagi menjaga nyawa. [25] Hal demikian berdasarkan firman Allah s.w.t:

Maksudnya :

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. [26]

ii. Rukhsah sunat

Contohnya seperti mengqasarkan sembahyang ketika perjalanan dan berbuka puasa kerana sakit atau dalam perjalanan (musafir). Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Ia merupakan sedekah yang disedekahkan oleh Allah kepada kamu, maka terimalah sedekahnya”. [27]

iii. Rukhsah harus

Seperti akad jual salam , bai’ al-araya , akad sewaan dan sebagainya. Ia diharuska kerana keperluan. [28]

iv. Rukhsah khilaf al-awla

Seperti melafazkan kekufuran ketika dipaksa dalam keadaan hati tetap beriman dan berbuka puasa ketika dalam perjalanan bagi orang yang tidak mengalami sebarang kesulitan. [29] Berdasarkan firman Allah s.w.t :

Maksudnya :

“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah ) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah ), kalau kamu mengetahui”. [30]

v. Rukhsah makruh

Seperti mengqasarkan sembahyang dalam perjalanan yang memakan masa kurang dari tiga hari tiga malam. [31]

Namun begitu, ulama mazhab Hanafi membahagikan rukhsah kepada empat jenis iaitu:

i. Harus melakukan yang haram ketika darurat dan hajat, seperti melafazkan kata-kata kufur ketika dipaksa dalam keadaan hati tetap beriman. [32] Ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t

Maksudnya:

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman”. [33]

Juga seperti berbuka puasa pada bulan Ramadhan, memusnahkan harta orang lain ketika dipaksa atau sebagainya. Hukum rukhsah ini harus tetapi dalam kes dipaksa melakukan kekufuran, mereka berpendapat bahawa beramal dengan ̒azimah lebih utama. [34]

ii. Harus meninggalkan yang wajib, seperti harus berbuka puasa pada bulan Ramadhan kerana sakit atau musafir. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t :

Maksudnya:

“Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain”.

iii. Harus melakukan akad atau urusan yang diperlukan oleh manusia walaupun pada asalnya ia bertentangan dengan kaedah umum perundangan Islam, seperti akad jual salam dan akad istisna’ (tempahan). [35]

iv. Menghapuskan hukum yang menyulitkan yang disyariatkan dalam syariat- syariat terdahulu seperti bunuh diri untuk bertaubat dan mengoyakkan bahagian yang terkena najis pada pakaian. Rukhsah ini adalah majazi sahaja kerana pada hakikatnya hukum tersebut tidak terpakai lagi dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w. [36]

Imam al-Syatibi berkata, rukhsah itu sendiri harus secara mutlak, tidak ada rukhsah wajib atau sunat. Bagi beliau hukum wajib makan bangkai ketika darurat, sebenarnya ̒azimah yang sabit untuk menjaga kehidupan. [37] Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:

Maksudnya :

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. [38]

Firman Allah s.w.t lagi :

Maksudnya:

“ Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri’’. [39]

Sebahagian ulama berpendapat bahwa rukhsah hanya merangkumi perkara-perkara yang tidak dinaskan keharusannya. Tetapi jika ada nas secara qat’i , rukhsah tidak berbangkit walaupun ada masyaqqah . Pendapat ini masyhur dikalangan pengikut mazhab Hanafi. [40]

Jika seseorang itu terus beramal mengikut hukum asal sedangkan ada masyaqqah yang mengharuskan rukhsah , apakah hukum perbuatan itu?

Al- Zarkashi berpendapat sah dan gugur kewajipannya jika masyaqqah itu tidak membawa kepada kebinasaan atau dharar yang lebih besar. Sebaliknya kalau ditakuti akan timbul dharar yang lebih besar atau boleh membawa kepada kemusnahan, mestilah diamalkan rukhsah . Karena itu wajib berbuka puasa ketika sangat lapar. Sekiranya puasa diteruskan juga ia dikira maksiat (ingkar). Menurut Imam al-Ghazali, puasa itu mungkin tidak sah karena ia mengingkari rukhsah tersebut. Ia boleh disifatkan sebagai jenayah terhadap ruh yang menjadi hak Allah s.w.t. Bagaimanapun, kata beliau ini tidak bermakna ia satu maksiat. [41]

PEMBAGIAN MASYAQQAH

Menurut al-Syatibi masyaqqah terbahagi kepada dua :

a. Masyaqqah biasa ( ﺍﻟﻤﺸﻘﺔ ﺍﻟﻤﻌﺘﺎﺩ )

Yaitu kesulitan biasa yang boleh dihadapi tanpa mengalami sebarang kemudaratan seperti kesulitan dalam menjalankan ibadah-ibadah fardu, kesulitan mencari nafkah, kesulitan dalam jihad menentang musuh dan seumpamanya. Kesulitan- kesulitan ini tidak membawa kepada keringanan hukum. Kerana ia bertujuan untuk menjaga maslahah manusia di dunia dan akhirat. [42]

b. Masyaqqah luar biasa

‏( ﺍﻟﻤﺸﻘﺔ ﻏﻴﺮ ﺍﻟﻤﻌﺘﺎﺩ ‏)

Yaitu kesulitan yang menyebabkan kesengsaraan yang biasanya tidak mampu ditanggung oleh manusia biasa dan membawa kepada kemudaratan, mencacatkan sistem hidup dan membantut usaha melakukan sesuatu yang bermanfaat. [43]

Masyaqqah luar biasa dibagi menjadi tiga peringkat [44] :

i. Kesulitan dan kepayahan yang besar dan berat. Contohnya kesusahan yang menimbulkan kebimbangan berlaku kemudaratan kepada diri dan anggota badan akibat dari puasa berpanjangan dan qiamullail yang berterusan. Masyaqaah ini mewajibkan takhfif (keringanan) kerana menjaga diri untuk melakukan ibadat lebih utama dari memudaratkannya hingga menghalang daripada melakukan ibadah.

ii. Kesulitan yang ringan. Contohnya kesakitan yang boleh ditanggung. Masyaqqah ini tidak diambil kira kerana menghasilkan maslahah itu lebih utama dari menghilangkan kesulitan yang sedikit itu.

iii. Kesulitan yang pertengahan. Misalnya kesakitan biasa. Hukumnya tertakluk kepada kesulitan itu sendiri, sekiranya ia hampir kepada tahap masyaqqah yang berat maka ia perlu diringankan. Sekiranya hampir kepada masyaqqah yang ringan, ia sebaliknya.

KAIDAH-KAIDAH CABANG (FURU’)


Dari kaedah asas dan utama tersebut dapat dikeluarkan pula beberapa kaedah pecahan lain yang akan dibincangkan di sini ialah sebanyak sepuluh kaedah antaranya ialah :

1. ﺇﺫﺍ ﺿﺎﻕ ﺍﻷﻣﺮ ﺇﺗﺴﻊ

Maksudnya : Apabila sesuatu itu sempit, hukumnya menjadi luas.

Syeikh Izz al-Din bin Abd al-Salam menjelaskan bahawa syariat Islam dibina atas dasar apabila sesuatu perkara itu sukar dan sempit maka ia menjadi luas dan mudah. Contohnya, sudah memadai dengan saksi wanita dan diterima saksi wanita dalam perkara yang lelaki tidak mengetahuinya dan melihatnya seperti, cacat pada anggota dan lainnya. [45]

2. ﺇﺫﺍ ﺇﺗﺴﻊ ﺍﻷﻣﺮ ﺿﺎﻕ

Maksudnya : Apabila sesuatu itu luas, maka hukumnya menjadi sempit.

Apabila sesuatu itu atau pelaksanaannya mudah, maka hukum pelaksanaannya menjadi sempit. Kaedah ini juga berkait rapat dengan kaedah ﺍﻟﻀﺮﻭﺭﺍﺕ ﺗﻘﺪﺭ ﺑﻘﺪﺭﻫﺎ ‏) ) yang bermaksud keadaan darurat it diharuskan menurut kadarnya. [46]

Kaedah ini bermaksud, sesuatu itu dibuka ruang ketika darurat dan apabila keadaan darurat itu lenyap, maka hukum pelaksanaan kembali pada asalnya. Contohnya, seseorang yang dalam keadaan lapang, seharusnya melakukan sembahyang di awal waktu serta dengan menepati segala rukun dan syaratnya yang sempurna. [47]

3. ﺍﻟﻀﺮﻭﺭﺍﺕ ﺗﺒﻴﺢ ﺍﻟﻤﺤﻈﻮﺭﺍﺕ

Maksudnya : Kemadaratan itu membolehkan hal-hal yang dilarang/diharamkan.

Kaedah ini bermaksud keadaan kemudaratan itu membolehkan dan mengharuskan perkara yang ditegah atau dilarang. Kaedah ini dapat dikaitkan dengan kaedah :

ﻳﺠﻮﺯ ﻓﻲ ﺍﻟﻀﺮﻭﺭﺓ ﻣﺎ ﻻ ﻳﺠﻮﺯ ﻓﻲ ﻏﻴﺮﻫﺎ ‏) )

yaitu harus waktu darurat apa yang tidak diharuskan ketika lainnya. Namun begitu, pengharusan waktu darurat itu dengan menurut kadarnya atau tidak melebihi kadar yang diharuskan. Contohnya, harus memakan bangkai atau benda haram ketika sangat lapar untuk menyelamatkan diri daripada mati kebuluran. [48]

Pengecualian dari kaedah (kes pengecualian).

Berikut merupakan hukum yang terkecuali daripada kaedah di atas, ia tidak diharuskan sama sekali melakukannya walaupun terpaksa dan dipaksa, antaranya ialah :

i. Kekufuran atau kufur. Seseorang tidak boleh sama sekali murtad atau kufur kepada Allah walaupun dia diugut dan akan dibunuh. Namun begitu dia boleh hanya menzahirkan kekufuran dan hatinya tetap beriman iaitu konsep taqiyyah . Walau bagaimanapun, menzahirkan keimanan itu lebih utama demi menyatakan kekuatan Islam.

ii. Membunuh. Seseorang yang diugut atau dipaksa membunuh orang lain, ia tidak boleh melakukannya atau melaksanakan arahan tersebut.

iii. Berzina. Jika seseorang itu dipaksa berzina ia tidak boleh melakukannya.

4. ﺍﻟﻀﺮﻭﺭﺍﺕ ﺗﻘﺪﺭ ﺑﻘﺪﺭﻫﺎ

Maksudnya : Keadaan darurat ditentukan mengikuti kadarnya.

Keadaan darurat yang diharuskan atau dibolehkan disebabkan ada kemudaratan. Kadar kemudaratan tersebut hendaklah tidak berlebihan dan melampai batas. Hukum harus tersebut hanyalah sekadar untuk menghilangkan kemudaratan yang sedang menimpa, apabila kemudaratan itu hilang, maka pengharusan terhadap apa yang didasarkan kepada kemudaratan itu hilang juga, iaitu ia kembali kembali hukum asal.

Contohnya, memakan bangkai hanyalah diharuskan untuk menyelamatkan diri daripada kelaparan dan mati kebuluran. Apabila bertenaga semula, batasan yang diharuskan itu berakhir. Doktor diharuskan melihat aurat pesakit lelaki dan wanita untuk merawat, namun pada anggota atau bahagian sakit sahaja, tidak lebih daripada itu. [49]

Pengecualian dari pada kaidah

Hukum furu’ yang terkecuali daripada kaedah ini ialah :

i. Jual beli al-’araya ( ﺍﻟﻌﺮﺍﻳﺎ ) pada permulaannya ia diharuskan untuk golongan fakir, namun selepas itu diharuskan juga untuk golongan kaya. [50]

ii. Li’an itu asalnya diharuskan dalam keadaan sukar mendatangkan saksi terhadap isteri yang berzina, namun kemudian ia diharuskan dalam semua kemungkinan. [51]

5. ﻣﺎ ﺟﺎﺯ ﻟﻌﺬﺭ ﺑﻄﻞ ﺑﺰﻭﺍﻟﻪ

Maksudnya : Apa yang diperbolehkan kerana udzur, batal dengan sebab hilangnya udzur tersebut.

Sesuatu yang dihalalkan dan diharuskan ketika ada keuzuran itu akan kembali kepada hukum asal apabila hilang keuzuran tersebut.

Contohnya, tayammun menjadi batal dengan sebab didapati atau adanya air sebelum mendirikan sembahyang. Pada bulan Ramadhan seseorang jatuh sakit, diharuskan berbuka puasa kerana keuzurannya itu. Namun setelah dia sembuh, maka dia wajib berpuasa. [52]

6. ﺍﻟﺤﺎﺟﺔ ﺗﻨﺰﻝ ﻣﻨﺰﻟﺔ ﺍﻟﻀﺮﻭﺭﺓ ﻋﺎﻣﺔ ﻛﺎﻧﺖ ﺃﻭ ﺧﺎﺻﺔ

Maksudnya : Keperluan atau hajat diletakkan pada kedudukan darurat, baik keadaan umum atau khusus.

Kaedah ini bermaksud, keringanan itu tidak hanya terbatas untuk perkara darurat sahaja, namun ia juga terdapat pada perkara hajiyyat atau keperluan. Dengan erti kata lain, keringanan itu dibolehkan pada perkara hajiyyat sebagaimana ia dibolehkan pada perkara darurat.

Contohnya, seseorang lelaki diharuskan memakai pakaian sutera disebabkan ada penyakit kulit dan lainnya, namun dalam keadaan biasa diharamkan. Selain itu, diharuskan melihat bakal isteri untuk tujuan perkahwinan. [53]

7. ﺍﻹﺿﺼﻄﺮﺍﺭ ﻻ ﻳﺒﻄﻞ ﺣﻖ ﺍﻟﻐﻴﺮ

Maksudnya : Keadaan terdesak tidak dapat membatalkan hak orang lain.

Kaedah ini membawa maksud, keperluan di waktu terdesak tidak dapat membatalkan hak milik orang lain sepenuhnya. Ia samada desakan disebabkan perkara samawi seperti lapar atau bukan disebabkan perkara samawi seperti dipaksa. Contohnya, apabila tempoh sewa atau upah menyusu bayi daripada ibu susu telah tamat, sedangkan bayi tersebut telah dapat menyesuaikan diri dengan susunya, tambahan pula, bayi tersebut belum dapat makan atau menerima makanan lain, maka ibu susu tersebut boleh dipaksa supaya terus menyusui bayi tersebut, ini adalah untuk menjaga kepentingan bayi. Ibu susu tersebut hendaklah dibayar upah dengan kadar yang setimpal. [54]

Selain itu, sekiranya tempoh sewaan tanah pertanian telah tamat namun tanamannya masih belum dapat dituai disebabkan belum masak. Sewaan dikira berterusan sampai ia dapat dituai, dengan kadar tambahan sewaan sepatutnya. Hal demikian kerana desakan dan tekanan penyewa untuk mengekalkan tanamannya hingga masak dan dapat dituai tetap tidak membatalkan hak milik tuan tanah. [55]

8. ﺍﻟﺤﻜﻢ ﻳﺘﺒﻊ ﺍﻟﻤﺼﻠﺤﺔ ﺍﻟﺮﺍﺟﺤﺔ

Maksudnya : Hukum itu mengikuti kemaslahatan yang lebih unggul.

Kaedah ini banyak digunakan dalam perkara yang berkaitan dengan ibadat, jihad dan sebagainya. Walaupun kadangkala pada zahirnya didapati ada kerugian daripada perbuatan tersebut, namun kesudahannya atau hakikatnya terdapat kemaslahatan yang kuat dan rajih . Lantaran itulah syarak menyuruh melaksanakan. Contohnya, keizinan berjihad dan memerangi musuh. Pada zahirnya menyebabkan kematian dan kerosakan, namun natijahnya adalah amat baik dan jelas. Iaitu mempertahankan diri, agama dan menyebaran agama Islam. Hasil jihad, Islam tersebar ke pelusuk dunia. [56]

9. ﺍﻟﺤﻜﻢ ﻳﺪﻭﺭ ﻣﻊ ﻋﻠﺘﻪ

Maksudnya : Hukum itu berkisar beserta illah nya/ sebabnya.

Kaedah ini bermaksud sesuatu hukum itu atau hukum yang ada itu disebabkan ada illah nya atau sebabnya. Lantaran itu sekiranya illah itu hilang, maka tidak berlakulah hukum tersebut. Contohnya, diharamkan arak disebabkan illah nya yang memabukkan, apabila illah nya hilang atau tidak ada lagi, waktu itu ia tidak diharamkan, seperti arak tersebut telah bertukar menjadi cuka. [57]

Selain itu, sesuatu itu apabila ia mengandungi racun, apabila ia merosakkan maka ia diharamkan, namun apabila tidak merosakkan bahkan dapat dijadikan ubat, diharuskan. Antara contoh lain lagi, jus anggur atau nira itu apabila ia bertukar menjadi arak hilanglah kesuciannya. [58]

10. ﻳﻨﺰﻝ ﺍﻟﻤﺠﻬﻮﻝ ﻣﻨﺰﻟﺔ ﺍﻟﻤﻌﺪﻭﻡ

Maksudnya : Kedudukan perkara yang tidak diketahui itu sama dengan kedukan perkara yang tidak ada.

Kaedah ini dibawa oleh Ibn Rajib al- Hanbali dalam kitab Taqrir al-Qawaid wa Tahrir al-Fawaid . Ia bermaksud apa yang tidak diketahui atau majhul kedudukan serta tarafnya sama dengan taraf apa yang tidak ada.

Contohnya, barang temuan atau harta yang ditemui tercicir selepas tempoh haul atau masanya, ia menjadi milik orang yang menemuinya atas dasar asalnya tidak diketahui pemilik. Apa-apa yang tidak dapat dimiliki daripada barangan temuan pula, hendaklah disedekahkan bagi pihak pemilik, menurut pendapat yang tepat. [59]

Hal demikian, berdasarkan kepada sabda Baginda s.a.w daripada ’Iyad bin Himar :

)) ﻓﺈﻥ ﺟﺎﺀ ﺻﺎﺣﺒﻬﺎ ﻓﺄﺩﻫﺎ ﺍﻟﻴﻪ، ﻭﺍﻥ ﻻ ﻓﻬﻲ ﻣﺎﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﻳﺆﺗﻴﻪ ﻣﻦ ﻳﺸﺎﺀ .(( [60]

Maksudnya :

‟Apabila datang pemiliknya, dialah yang lebih berhak. Sekiranya tidak, ia adalah harta Allah yang dikurniakan kepada sesiapa yang Ia kehendaki”.


DAFTAR PUSTAKA

Al-Hanafi, Zain al-Din Ibn Ibrahim al-Ma’ruf Ibn Nujaym. 1999. Al-Ashbah wa al-Nazair . Cetakan kedua. Damsyiq : Dar al-Fikr.

Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zain. 2000.

Perbahasan Kaedah-kaedah Fiqh . Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Al-Suyuti, Jalal al-Din ’Abd Al-Rahman. t.th. Al-Ashbah wa al-Nazair fi Qawaid wa Furu’ Fiqh al-Syafie .t.tp : t.tpt.

Muhammad Uthman Bashir. 2006M/1426H. Al-Qawaid al-Kuliyyah wa al-Dhawabit al- Fiqhiyyah fi al-Syariah al-Islamiyyah. Oman al-Ardan: Dar al-Nafais.

Saadan Man.1994. Doktrin Masyaqqah dan Hukum Keringanan Menurut Prinsip Islam . Jilid 2.

Berlangganan update artikel terbaru via email:

0 Response to "KAIDAH AL-MASYAQQAH TAJLIB AL-TAISIR (المشقّة تجلب التّيسير)"

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel